Selasa, 3 Mac 2015

BERJAYA HAMIL!ALHAMDULILLAH...


Dalam usaha saya untuk menceritakan apa usaha saya satu demi satu, belum habis bercerita di sebabkan kekangan masa untuk menaip. Diam tak diam, Allah telah mengabulkan doa saya suami isteri dan doa-doa orang di sekeliling saya.. Alhamdulillah, pada saat saya menaip ini, kandungan saya telah pun berusia 9 minggu 3 hari, semoga kandungan saya terus sihat hingga melahirkan, In Shaa Allah, Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Saya sebenarnya adalah golongan ibu yang mengalami alahan yang agak teruk bermula daripada minggu ke-6 dan sehingga sekarang, masih alami keadaan yang sama. Masa minggu ke-8 macam dah berkurangan tetapi masuk sahaja minggu ke-9, tiba-tiba sahaja alahan itu kembali seperti mana awal-awal terkena alahan itu. Namun, saya perlu tabah dan kuat serta sentiasa mengucapkan syukur kepada Yang Maha Esa kerana telah memakbulkan penantian saya ini dan perlu bersyukur kerana masih ramai yang masih menunggu anugerah Allah yang terindah ini.

Ahad, 21 Disember 2014

Rahsia Hamil


Assalammualaikum WBT


Buat masa ni masih tak berkesempatan untuk berkongsi produk seterusnya saya usahakan tetapi kali ini saya ingin kongsikan rahsia hamil yang tidak perlukan jumlah wang yang banyak. Cukup saya katakan ianya sangat berkesan dan banyak testimoni berjaya akan sebutkan juga hal ini.

Sebelum diteruskan, cuba kita soal diri kita. Siapa yang menciptakan aku? bagaimana diri aku terjadi? cuba selami, dari mana datangnya kita? sebenarnya sudah lama juga saya fikirkan hal ini tetapi mungkin iman belum begitu kuat, percaya tetapi amalannya itu kurang. Subhanallah, selama ini sibuk cari produk-produk buatan manusia sedangkan manusia itu sama macam kita.

Teman sekalian, semua ini sangat menginsafkan. Saya akan ceritakan kepada anda semua rahsia kejayaan ini, walaupun untuk masa sekarang saya sedang menunggu tempoh 2ww (two wait week) atau dalam bahasa dua minggu menunggu atau boleh juga digunakan ayat DPO (Days past ovulation) dalam bahasa, hari selepas ovulasi, saya berharap akan sampailah rezeki saya. Jika belum sampai juga rezeki saya, tidak saya akan putus asa kerana amalan ini bukan untuk dapatkan zuriat sahaja tetapi adalah untuk kita terus mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Dahulu saya selalu berasakan yang saya akan cepat hamil dengan memakan produk-produk yang di beli tapi produk itu tidak salah, sebab itu juga adalah usaha namun usaha itu usaha yang kecil. Usaha yang benar-benar besar adalah KEROHANIAN! Bukankah di dunia ini hanya satu persinggahan sebelum sampai ke tempat yang abadi iaitu akhirat? Kita sibuk inginkan zuriat sebab ingin berlumba, ingin menunjuk kepada manusia semua, 'Hai semua, aku SUBUR!' tetapi kita ada tidak terfikir, aku inginkan zuriat kerana aku mahu menambah Umat Muhammad SAW, ingin mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh/solehah, ingin menjadikan mereka sebagai saham akhirat kita di sana kelak. Almaklumlah kita ni pahala tu tak tahu banyak mana saja ada, dengan lahirnya zuriat ini, mereka bakal menjadi anak-anak yang soleh yang akan mendoakan kita dan suami di alam sana.

Saya kongsikan dengan anda, jika anda sudah tahu pun, tolong terus amalkan tanpa putus asa dan niat semua ini bukan sebab zuriat sahaja tetapi demi kerana Allah SWT. Semoga bila sampai sudah rezeki anda, teruskanlah amalan ini sehingga ke akhir hayat agar kita tergolong di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat syurga di akhirat sana. Ini bukan rezeki zuriat sahaja malahan In Sha Allah, akan datang rezeki-rezeki lain sama.

Dhuha 

Carilah kelapangan hanya dua rakaat sudah mencukupi sekiranya anda yang berkerja terpaksa berkejar tugasan yang boss bagi. Dua rakaat tu tak ambil masa yang lama pun tetapi jangan sampai tak khusyuk pula ya. Baca saja surah yang anda tahu pada setiap rakaat selepas Al-Fatihah. Selepas itu bacalah doa ini (dapat hafal yang bahasa Arab lagi baik tapi bahasa Melayu pun boleh janji ikhlas).

“Ya Allah bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu". "Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh”

Kemudian anda bolehlah berdoa segala permintaan anda. In Sha Allah...

Tahajjud

Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu mengatakan bahwa Rasulullah bersabda, 'Tuhan kita Yang Maha suci dan Maha tinggi turun ke langit dunia. setiap malam ketika tinggal sepertiga malam yang akhir dengan berfirman, 'Siapakah yang mau berdoa kepada-Ku lalu Aku kabulkan? Siapakah yang mau meminta kepada-Ku lalu Aku kabulkan? Siapa yang mau meminta ampun kepada-Ku lalu Aku ampuni?'"

Salah satu caranya ialah dengan anda melakukan qiaimulail. Pada ketika ini apabila anda bangun tidur terutamanya pada pertengahan malam, otak anda dalam keadaan hening dan tenang. Paras kortisol amat rendah pada waktu ini.

"Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. (Surah Hud:114)

Sumber: http://rahmanhatim93.blogspot.com/2011/12/rahsia-kelebihan-solat-sunat-tahajjud.html

Amalan Surah Al-Waqiah

Surah Al Waqiah adalah surah menjemput rezeki, banyak kelebihannya. Anda boleh google dan lihat serta baca kesemua kelebihan-kelebihannya. Semoga amalan Surah Al-Waqiah menjadi pembasah anda setiap hari sepanjang hayat, In sha Allah..

Ini saya kongsikan link untuk bacaan anda tentang kelebihan Surah Al-Waqiah

https://shafiqolbu.wordpress.com/2011/11/04/fadhilat-dan-khasiat-surah-al-waqiah/

Doa Nabi Zakaria 

Amalkan surah-surah di bawah, In Sha Allah akan sampai rezeki anda:




Istighfar

Banyakkan dengan istighfar setiap masa, setiap hari tanpa jemu, kelebihannya begitu banyak. Saya berikan link untuk anda membaca kelebihannya:

http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2012/10/25-manfaat-istighfar.html#axzz3MbOjINvB

Asma Allah

Untuk mendapatkan zuriat, cuba amalkan membaca Asma Allah

Ya Khaliq, Ya Bari, Ya Mussawwir, Ya Mubdi sebanyak yang mungkin..


Sebenarnya banyak lagi amalan-amalan dan doa-doa lain. Apa yang penting, usahakan diri anda mendekati-Nya dan niat bukan sahaja kerana zuriat tetapi adalah kerana Allah SWT. In Sha Allah, semoga kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang beriman dan syurga tempat kita di akhirat kelak..Aamin.


Selasa, 9 Disember 2014

Part 3: Multivitamin Blackmores, Shatavari, Folic Acid

Pernah tak anda jumpa jenama-jenama produk ini? Rasanya Blackmores dan Appeton mungkin sudah biasa pada anda terutama bila anda biasa pergi ke farmasi seperti Guardian, Watson dan farmasi yang berdekatan dengan rumah anda. Kebiasaan memang setiap farmasi pasti akan ada juga produk ini walaupun sedikit.

FOLIC ACID APPETON



Folic Acid Appeton sudah menjadi sebahagian daripada pengambilan saya sebab tahu pun daripada rakan yang berjaya hamil. Mereka menyarankan agar mengambil folic acid ini bermula daripada 3 bulan merancang hamil. Folic acid juga bagus diambil suami isteri, bukan sahaja isteri, suami pun sangat digalakkan untuk mengambilnya. Sebenarnya bermula sebulan selepas kahwin, saya sudah mengambilnya dan sebab itu juga lah badan saya bagai dipam-pam sebab pada tubuh saya, ia penyebab kepada keinginan makan saya yang tak terkawal,asyik rasa lapar sahaja.

Anda boleh pergi ke blog Dr.Zubaidi dengan klik ke link di bawah berkaitan dengan folic acid:


SHATAVARI HIMALAYA



Shatavari Himalaya, salah satu daripada produk yang boleh membesarkan dan mematangkan telur. Sekiranya anda PCOSer, sangat baik untuk anda kerana ramai juga PCOSer yang berjaya dengan herba Shatavari ini. PCOSer adalah mereka yang tergolong di kalangan yang lambat ovulasi dan period tidak tetap tetapi ada juga PCOSer yang periodnya tetap cuma telurnya tidak berapa matang untuk di senyawakan.. Allahualam. Selama saya mengamalkan Shatavari Himalaya, Alhamdulillah, walaupun belum berhasil namun hasil lain, memang boleh ovulasi cepat, period jadi semakin pendek. Sekarang saya sudah tidak amalkan sebab sedang mencuba produk lain. Tetapi apa saya boleh katakan, Shatavari Himalaya antara salah satu produk yang bagus.


MULTIVITAMIN BLACKMORES




Multivitamin Blackmores, nama pun multi, sudah tentu semua vitamin dah cukup dalam satu tablet. Tidak perlu susah-susah buka banyak-banyak botol vitamin kerana di dalam multivitamin sudah ada kesemuanya tetapi kalau anda rasa nak tambah vitamin tiada masalah tetapi jangan sampai terlebih dos sudah. Multivitamin ni bukan ubat kesuburan tapi ia menyokong untuk pembentukan janin sedari awal lagi, atau ia boleh membentuk telur ovum dan sperma yang cantik dan sempurna. Sperma pun bukan keluarnya semua baik-baik, ada yang cacat juga, kalau cacat bagaimana nak menembusi telur ovum? penggunaan multivitamin blackmores pada saya tak dapat saya katakan bagaimana sebab pada saya biasa sahaja tapi tidak tahulah kalau ia sudah membantu apa yang ada di dalam tubuh saya. Sekarang saya sudah bertukar kepada multivitamin yang lain setelah makan produk ini hampir 3 bulan. Apakah produk multivitamin itu? Nantikan untuk part akan datang..In shaa Allah.




Rabu, 3 Disember 2014

Ujian Allah SWT

Ya Allah, saat saya sedang menaip ni,air mata masih belum kering. Jika saya rasa ujian saya dah terlalu berat, sebenarnya ada yang lebih berat lagi. Saya mendoakan agar beliau mendapat kekuatan, berjaya melahirkan anaknya dan suaminya benar-benar berubah menjadi seorang suami yang beriman.

Alkisahnya kisah ini saya terbaca di Group Endometrisis kat Facebook, suami beliau memberi limit agar beliau hamil sehingga hujung bulan Disember 2014 setelah 9 tahun berkahwin dan beliau tidak juga hamil. Apakah kurangnya iman seorang pemimpin rumahtangga sehingga meletakkan hukuman di bahu sang isteri? Allahuakbar!! Sungguh, menitis air mata saya tatkala tiba di ayat, ‘jika tidak berjaya, saya akan diceraikan dengan talak 3’..


                                                        Anak Anugerah Dari Ilahi

Anak itu adalah rezeki, rezeki itu adalah datangnya daripada Allah SWT bukan pada kita sendiri. Kalau kita sudah berdoa, berusaha, tawakal, kita juga disuruh agar redha dan tidak berputus asa. Itu baru 9 tahun, ada yang lebih hebat hampir 16 tahun dan Alhamdulillah, berjaya juga memiliki zuriat sendiri. Sedangkan Nabi pun diuji, inikan pula kita hamba biasa. Dayus lah seorang suami yang tidak ada iman dalam dirinya.

                                                         
                                                   DOA PEMBUKA REZEKI


Sahabat seperjalanan, mari kita kuatkan doa kita, doa bukan sahaja agar dikurniakan zuriat tetapi kita sama-sama doakan agar kita dikurniakan iman yang kuat, suami yang beriman dan untuk kebahagiaan rumahtangga kita. Dunia semua ini sementara, yang kekal itu akhirat sana. Allah sudah menjanjikan syurga buat hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.


Allah..Allah..Allah..semoga dengan kisah sebegini, memberikan kita perasaan syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih memiliki suami yang baik pegangan agamanya.


DOA BAHAGIA SUAMI ISTERI

Part 2: Diet Atkins

Part 2

Saya sedar saya memang dah gemuk,tambah diri ni rendah. Tengok gambar kahwin balik dah macam penguin pun ada. Suami tak nak kecilkan hati, asyik cakap ‘tak apa, tak apa, sayang dah okey dah, abang tetap sayang’. Di pejabat sahaja, ada mulut-mulut yang tegur, ‘eh, dah gemuk awak sekarang.Dah pregnant ke?’..Allah, masa ni mencabar, kalau betul pregnant tak mengapa. Lebih membuat saya berfikir adalah bila teringat doktor tu cakap, ‘macam mana awak nak pregnant bila awak gemuk macam ni’. Sentap sangat tau,rasa nak menangis situ-situ juga. Period sudahlah susah nak datang walaupun dah makan ubat turun darah doktor bagi. Nama ubat tu Sonulut..

Alhamdulillah, jumpa satu group dalam FACEBOOK namanya Group Kelab PCOS, itu pun kawan yang bagitahu dan dari situ, saya tahu ada satu diet yang boleh turun cepat (saya tahu lama dan dah join tapi buat sekerat jalan masa selepas bertunang tu) dan ramai yang berjaya hamil selepas buat diet tu. Nama diet tu, DIET ATKINS.


                                                                     Sumber: Google

Saya explore balik group Diet Atkins ni dan kali ni saya benar-benar tekad nak kurus! Step pertama adalah dengan mengkaji makanan pada fasa 1. Kalau tiada ketahanan hati dan semangat memang tak boleh tambah kalau dah jenis kuat makan. Alhamdulillah, saya tak tahap kuat makan nasi tapi tahap kuat minum air manis. Tekad, jauhkan diri daripada MANIS! Hari-hari penuhkan air masak dalam botol dengan kadar sehari 3 liter.

Di pejabat saya mulakan lunch dengan lauk pauk yang sesuai, yang tiada manis tapi pagi saya ambil ayam goreng, telur tak lalu ambil setiap pagi. Kalau hari cuti mudah sebab boleh masak kita tahu apa benda yang bahannya masuk. Memang terkebelai (tak bermaya) juga lah sebab ketosis sedang ambil alih. Paling semangat, saya beli penimbang dan bila timbang, turun dan menurun. Turun lebih cepat sebab saya juga workout dalam rumah (lepas balik kerja) dan berpuasa tambah puasa ganti sebab masa tu lagi dua bulan nak puasa, bagus puasa ganti cepat-cepat.

                                                              Sumber: Google 

Akhirnya, period saya turun! Alhamdulillah, bersyukur sangat sebab tak sabar nak mula TTC semula. Tapi selepas atkins ni, period saya jadi cepat, hari ke-19 dah period. Setelah ke-19, hari ke-23 dan hari ke-26, sampai jadi hari ke-31, proses pembetulan balik.

Saya juga pengguna OPK tegar, pernah jumpa hari subur pada hari ke-7 sebab period 3 hari sahaja. Bila dapat terang dua-dua line, melompat gembira macam UPT yang double line. Saya berjaya turunkan sebanyak 13kg dalam sebulan setengah walaupun target sebanyak 20kg. Tapi berat saya dah cecah tahap berat normal yang hujung-hujung,boleh lah..

                                                              Sumber: Google


Kesannya, berat saya maintain tapi kadang-kadang turun sebab saya terbiasa tak ambil nasi, jadi tak gaduh nak makan nasi cuma manis je kadang-kadang tu langgar tapi boleh kawal lagi tambah air masak dah jadi peneman setia begitu juga toilet, asal minum nak ke toilet ~sigh~

Selasa, 2 Disember 2014

Part 1: Produk Pertama (HKCC)

Assalammualaikum WBT

Dengan nama Allah SWT ...

Alhamdulillah, berjaya saya mencipta sebuah blog untuk diri saya. Niat untuk berkongsi dengan anda yang sedang dalam perjalanan TTC (Try To Conceive) bersama-sama saya. Terciptanya blog ini dah lama saya fikirkan tapi disebabkan masa dan terlupa, membuatkan saya bertangguh-tangguh tetapi kali ini, saya akan cuba luangkan masa untuk menulis sebanyak pengetahuan dan pengalaman saya. Semoga dengan setiap sudut yang saya kongsikan ini membawa kebaikan kepada kita semua.

Saya pernah terbaca satu petikan, ‘Wanita tidak takut untuk melahirkan anak tetapi takut tidak ada anak’. Ya, ada benarkan kata-kata ini dan saya yakin 99% wanita yang dah berkahwin, inginkan zuriat sendiri. Saya juga inginkan zuriat saya yang lahir daripada rahim saya sendiri, yang mahu di didik menjadi anak-anak yang soleh dan menjadi saham saya dan suami di akhirat kelak.

Perjalanan TTC saya tidaklah sehebat mereka yang sudah 5 tahun, 6 tahun, 7 tahun berusaha kerana usia perkahwinan saya baru menjangkau 1 tahun lebih tapi saya memahami keperitan yang dirasai oleh TTC’ian. Sebelum berkahwin lagi, saya sudah berangan untuk memiliki zuriat secepat mungkin selepas berkahwin nanti, dan di situlah bermulanya perjalanan TTC saya. Kadang hati rasa kecewa apabila ada rakan yang baru berkahwin seolah mengajar saya, ‘dalam setahun ini tidak perlu terburu-buru nak ada anak, cari duit dulu’ tapi akhirnya, dia juga mendahului mengandung sebelum sampai tempoh setahun usia perkahwinannya dan kecoh pada orang lain dengan kandungannya tanpa fikir bahawa bukankah dia dahulu beria nasihatkan saya agar tidak terburu-buru nak anak? Tapi saya tidak boleh marahkan? Sebab rezeki itu Allah SWT yang mengkehendaki pada hamba-hamba-Nya.
Apakah usaha TTC saya pada awal perkahwinan?

Part 1

Banyak produk kesuburan di pasaran sekarang, macam-macam sehingga tidak tahu mahu membuat pilihan yang mana satu tetapi ada satu produk ini saya lihat testimoninya ramai yang berjaya hamil mengambilnya tambah produk bumiputera. Nama produk ini HKCC, kotaknya berwarna purple, ada set untuk suami isteri. Selama 2 bulan setengah saya menggunakan produk ini.

                                                                   SET ZURIAT HKCC

Awal perkahwinan, beria saya membeli dan berharap ia serasi untuk saya. Saya beli set suami isteri dengan pemilik produk ini. Memang ramai yang dah berjaya juga, itu menambah keterujaan saya pada produk ini (saya memang jenis cepat teruja) hehehe..

Produk ini bagus sebab suami saya bila menggunakannya memang bertenaga apatah lagi kerjanya sehingga ke malam hari. Pada saya pula, perubahan saya rasai, kurang migraine sebab saya memang jenis ada migraine dan rasa bertenaga juga, tak letih dan tak rasa mengantuk. Almaklumlah kerja pejabat ni memang memerlukan mengadap komputer sepanjang hari.

Namun, satu hari tu, period saya tiba-tiba sahaja tidak muncul. Memang panik dan teruja sebab ingatkan produk HKCC dah sebati dengan saya tapi bila buat test negative pula. Ramai syorkan tunggu sebab kononnya lambat detect tapi memang mengada-ngadalah tubuh saya, feeling macam orang dah pregnant. Rasa nak muntah, tak boleh bau suami yang baru lepas balik kerja,teruk sangat baunya padahal suami saya bukanlah berpeluh pun, rasa penat, mengantuk,semua ada.

Dekat 3 bulan juga period saya tak datang-datang, scan dekat 2 kali memang doktor kata tak ada dan UPT (urine pregnancy test) pun negative. Doktor klinik biasa suggest saya pergi ke gynae tapi saya memang tak pernah tau gynae tu apa. Dengan jasa baik kak ipar saya yang masa tu sedang mengandung, dia ajak saya jumpa doktor dia yang biasa dia buat check up, katanya doktor ini biasa juga buat rawatan pada mereka yang ada masalah kesuburan.

Jumpa doktor ni, dia scan abdomen saya, katanya tak ada apa-apa ketumbuhan, cantik je rahim saya. Dia suggest buat blood test dan dia terus buat agakan yang saya ni ada PCOS. PCOS? (Polycystic Ovary Syndrome). Saya pernah baca dan dengar tapi tidak tahu sejauh mana bahayanya tapi kalau cakap sukar hamil, memang tu menjadi ketakutan saya. Agakan dia berdasarkan kepada bulu tangan saya (tapi saya rasa biasa sebab kakak-kakak saya pun ada, anak banyak juga), gemuk (saya tak pernah berat cecah lebih daripada 60kg dengan ketinggian 148cm tapi lepas bertunang, asyik makan je dengan tak terkawal), dan period yang tak teratur (kadang sebulan sekali kadang dekat 2 bulan, paling panjang 48hari).

Akhirnya saya berhenti ambil HKCC sebab saya baca PCOS tak boleh ambil minuman bergula dan kafein juga tidak sesuai untuk kesuburan wanita.

Err..sebenarnya PCOS tu belum confirm betul sebab doktor ambil darah masa hari saya belum period (sepatutnya hari ke-2 hingga ke-5 baru tepat menentukan FSH dan LH) dan saya juga belum TVS (Scan dari bawah) yang lebih tepat untuk menentukan saya ni betul ke PCOS sebab scan dari abdomen tak nampak pun ovari saya membengkak.


Oh ya, seawal perkahwinan, saya juga sudah mula mengurut, urut untuk rahim je dan bidan Indonesia tu kata, rahim saya cantik letaknya. Bidan tu ada suruh datang lagi tapi saya tak datang pun mengurut lagi.